Membangunkan Psikologi & Minda Si Kecil

“Kakak, pinjam sejadah jap, uncle Aiman nak solat Asar.”
Abi mereka, iaitu sahabat saya, bersuara kepada anak sulungnya. Sementara mahu bertolak ke Pahang sebentar lagi, saya menumpang solat di sini sebentar, kemudian bertolak selepas Maghrib sebentar lagi.
Tersenyum bibir ini melihat corak sejadah kanak-kanak sekecil 7 tahun itu. Comel, kemas dan menarik. Sekaligus menarik minat kanak-kanak untuk menggunakan sejadah tersebut.
(meletakkan keseronokan dalam beribadah)
Satu perkara kalau ditanya pada saya, apa yang saya mahu buat 20-30 tahun akan datang, jujurnya, memang saya tak tahu apa perancangan atau jalan hidup spesifik nanti.
Tetapi saya memang awal-awal cakap, ia pasti berkaitan dengan kanak-kanak. Minat saya terhadap Psikologi dan tumbesaran kanak-kanak teramat tinggi, sehingga zaman saya di Nottingham dulu pun, sangat rajin untuk sertai team Pengajar KAFA.
Ketika di sana, kami menggunakan istilah Notts L’il Caliphs.
Minat saya untuk bekerja dengan kanak-kanak bercambah dengan pesat sejak berada di sana, dan siapa sangka, sekarang membina kerjaya dalam pendidikan kanak-kanak juga, spesifik untuk kanak-kanak Autism dan ADHD.
Setiap kali saya berjumpa kawan-kawan, mesti saya akan berseronok bercerita mengenai kerjaya baru ini, satu, sebab hati gembira bila dah mula kembali kepada niche Psikologi.
Kedua, sebab minat saya terhadap kanak-kanak itu semakin mekar.
Berbalik pada perihal sejadah ini, ia mengingatkan saya terhadap konsep mendidik kanak-kanak, yang bermula daripada kecil lagi.
Dalil yang mengatakan bahawa anak-anak itu seperti kain putih itu dan yang mencorakkan ialah ibubapa, bukan semata-mata merujuk kepada konsep keagamaan.
Ya benar, kita didik anak-anak untuk solat, puasa dan sebagainya. Kepandaian spiritual mereka terletak kepada acuan didikan kita sejak mereka kecil.
Tetapi sebenarnya, pada fahaman saya, ia lebih daripada itu.
Kain putih itu diumpamakan, Psikologi kanak-kanak itu sendiri, dan bukan semata-mata merujuk kepada fikrahnya.
Apabila seorang manusia sejak lahir dan mula membesar, kita sebagai pendidiknya lah yang bertanggungjawab untuk membangunkan Psikologi mereka.
Kita yang perlu menjalankan terapi otot dan tulang untuk keupayaan dan kekuatan fizikal mereka.
Kita yang perlu menjalankan senaman mulut (oral exercise) untuk membantu mengaktifkan otot mulut mereka bagi memudahkan proses mula bercakap (speech therapy).
Kita yang perlu membantu mereka untuk faham konsep warna, bentuk, jarak dan sebagainya (keupayaan kognitif) sebelum mereka menjadi kanak-kanak.
Pendek kata, Psikologi dan mental anak-anak itu bukan seperti kita beli McD atau KFC, order sahaja di kaunter (hubungan perkahwinan), tunggu-tunggu, siap. Makanan semua dah lengkap dalam pinggan, sudu garpu semua dah ready.
Tidak.
Tetapi membina Psikologi kanak-kanak itu ibarat menanam pokok. Kita lah yang perlu menyiram, menggemburkan tanah, membaja, menjaga daripada sinaran matahari terlalu terik, dan lain-lain proses, untuk menjadikan pokok itu bercambah dengan sihat dan kuat.
Fizikal, ya, memang kanak-kanak itu akan terus membesar tanpa perlu kita usaha lebih-lebih, sebab memang dicipta begitu, asalkan cukup zat, nutrisi dan lain-lain.
Tetapi mental? Psikologi?
Itu perlu dibina. Itu perlu dididik. Itu perlu dibangunkan.
Ia bukan sekadar kita tunggu anak kita sendiri pandai membezakan warna, pandai memegang pensel, pandai bercakap-cakap.
Sebab itu kita biasa dengar cerita-cerita orang, ada anak yang cepat bercakap, ada yang cepat berjalan, ada yang lambat mengira, dan lain-lain.
Kerana keupayaan minda kanak-kanak perlu dibina, bukan ditunggu untuk tumbuh sendiri. Dan yang membinanya ialah kita.
Bina dengan ilmu, bina dengan pengetahuan.
Dan bina dengan iman, insya Allah.
Bak kata sahabat saya KakRozita Kamil,
Bina dengan 3H – Head, Heart and Hands.
🙂
(post ini merujuk kepada konsep Nurturing tanpa menafikan peranan Nature dalam tumbesaran minda kanak-kanak)
—-
NOTA:
Pengalaman saya dengan kanak-kanak bukanlah banyak mana. Malah, kahwin pun belum, apatah lagi ada anak. Setakat ini, sekadar terhad kepada kelas KAFA dahulu, kerjaya sekarang dan hubungan dengan anak-anak buah. Maka perkongsian saya, banyak teori dan secebis pengalaman.
Kalau anda berminat nak baca lebih lanjut dan mendalam mengenai konsep didikan anak-anak ini, boleh follow page senior saya, PuanNoor Afidah, iaitu pageParent Connect. Beliau aktif berkongsi di sana mengenai konsep parenting dan beliau juga merupakan Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK).

Menulis dan berkongsi mengenai ilmu pengkajian minda dan tingkahlaku manusia merupakan minatnya pada waktu lapang. Pada waktu serius pula, beliau berkhidmat sebagai Special Needs Educator merangkap Assistant Psychologist di sebuah pusat Psikologi terkemuka, WeCare Allied Health Center. Jemputlah datang untuk dapatkan servis Psikologis. Sebut nama beliau, insya Allah dapat diskaun 😛

Komen

Aiman Amri

Menulis dan berkongsi mengenai ilmu pengkajian minda dan tingkahlaku manusia merupakan minatnya pada waktu lapang. Pada waktu serius pula, beliau berkhidmat sebagai Special Needs Educator merangkap Assistant Psychologist di sebuah pusat Psikologi terkemuka, WeCare Allied Health Center. Jemputlah datang untuk dapatkan servis Psikologis. Sebut nama beliau, insya Allah dapat diskaun :P

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: