Kenapa Bilangan Psikologis Di Malaysia Amat Sedikit?

Daripada 92 Psikologis Klinikal yang ada di Malaysia [1], hanya 14 orang yang berada dalam sektor hospital kerajaan. Selebihnya, ramai yang berada dalam sektor swasta.
 
Nak tahu tak kenapa tak ramai Psikologis di Malaysia?
 
1. Aliran kerjaya graduan Psikologi tidak seperti mereka yang dalam bidang perubatan (ada konsep HO, MO dll) atau farmasi (konsep PRP). Senang cerita, siapa nak ambil jurusan Psikologis, ambil lah. Siapa yang nak jadi Psikologis usaha sendiri. Tiada polisi atau akta untuk mereka.
 
Cuba lah sendiri buka laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tengok tab Kerjaya. Hanya ada:
– Pegawai Perubatan (Doktor)
– Pegawai Pergigian (Dentist)
– Pegawai Farmasi (Pharmacist)
– Jururawat (Nurse)
– Penolong Pegawai Perubatan (MA)
 
Tiada Psikologis Klinikal. Noktah.
 
2. Memang wujud jawatan Pegawai Psikologi Gred 41 dalam sektor kerajaan [2], tetapi jawatan ini kebanyakannya dipelopori oleh kaunselor-kaunselor. Ini menyedihkan, sebab daripada perspektif kerajaan, tiada perbezaan antara Psikologis mahupun kaunselor. Mereka berebut jawatan yang sama.
 
Memandangkan bilangan Kaunselor jauh lebih daripada Psikologis, iaitu 20 kaunselor untuk 100,000 populasi rakyat berbanding 0.29 Psikologis Klinikal bagi 100,000 rakyat, maka sudah tentu yang berjaya masuk ke sektor kerajaan, ramai kaunselor.
 
3. Gaji yang diberi kepada Psikologis Klinikal (sektor kerajaan), sangat rendah dan tidak berbaloi berbanding skop kerja mereka yang seperti doktor, tetapi pendapatan seperti graduan baru lepasan sarjana muda. Maka, tidak peliklah ramai Psikologis ini yang ‘lari’ ke sektor swasta, yang sudah pasti lebih berbaloi gaji dengan tenaga yang diberikan dalam pekerjaan tersebut.
Sedangkan apabila dilihat di negara-negara maju seperti UK dan Australia, gaji Psikologis mereka hampir setanding dengan doktor.
 
4. Maka apabila syarikat/hospital swasta, kos terapi yang diberikan sudah pasti dengan harga yang amat tinggi, berbanding di kerajaan.
 
Sama macam kos perubatan, rakyat awam hanya RM1, tetapi apabila ke hospital swasta, boleh mencapai ribuan ringgit.
 
Kos terapi pula, jika di hospital kerajaan lebih kurang RM15 untuk satu temujanji, maka apabila masuk ke sektor swasta, mencapai RM250 untuk satu jam (satu sesi). Dan satu sesi biasanya memang takkan cukup untuk terus dirawat.
 
5. Jurusan Psikologi di Malaysia masih disalaherti dengan Kaunseling, mengikut fahaman orang awam. Sebut sahaja belajar Psikologi di UKM, pasti akan ada yang menyangka, nanti dah besar jadi Kaunselor. Paling menyedihkan, akan ada yang tertukar antara jawatan Psikologis dan Psikiatris.
 
“Eh sama je lah kan?”, kata mereka.
 
6. Kesedaran mengenai kesihatan mental masih kurang, maka jurusan yang berkaitan kerjaya ini, juga kurang. Secara automatik, apabila kesedaran kurang, maka tak ramai yang akan faham apa peranan sebenar Psikologis.
 
Mengikut kajian 2015, 4.2 juta rakyat Malaysia atau 1 daripada 3 rakyat, mengalami masalah mental, meningkat sebanyak 3 kali ganda berbanding 1996 [3].
 
Dengan kes masalah mental yang semakin meningkat, tetapi bantuan profesional untuk rawatan tidak mencukupi, maka tidak mustahil untuk peratusan ini terus meningkat.
 
7. Stigma yang berleluasa mengenai masalah mental dikaitkan dengan “sampukan jin”, “lemah iman” dan “tidak cukup ibadah”, menjadikan keadaan ini lebih buruk.
 
Tidak dinafikan memang wujudnya sampukan jin, lemah iman dan sebagainya itu. Tetapi untuk keadaan mental yang memang sudah terganggu secara medikal, fizikal dan fisiologikal, maka rawatan terbaik bukanlah melalui berjumpa bomoh, ustaz atau kedua-duanya.
 
Contohnya kita ambil isu kemurungan klinikal, yang sering tertukar antara sedih. Secara medikalnya orang itu sudah tiada kemampuan untuk berasa gembira (pada otaknya), maka logikkah untuk kita kata kepadanya, rawatan terbaik ialah banyakkan membaca Quran?
 
Sedangkan apabila ada masalah fizikal, kita mampu untuk dapatkan bantuan perubatan, tetapi apabila mental, menjadi satu ‘taboo’ dan malu untuk dinyatakan?
 
Bukankah otak itu sebahagian daripada badan kita juga?
 
8. Saban hari, kes-kes masalah mental semakin meningkat, dan yang kita hanya lihat di berita-berita itu hanya hasilnya sahaja.
 
Kes bunuh diri pelajar sekolah.
Masalah mental guru sekolah.
Gantung diri kerana tekanan hidup.
 
Jangan kita terlalu taksub melihat pada ‘output’, tanpa kita melihat kepada akar sebenar, iaitu kesihatan mental itu sendiri.
 
Kesihatan mental itu sama pentingnya seperti kesihatan fizikal. Malah, tidak sempurna kesihatan seseorang tanpa kesihatan fizikalnya [4].
 

Jadi apa yang kita boleh buat untuk hal ini?
 
1. Kita perlu meramaikan bilangan Psikologis Klinikal di Malaysia, di kedua-dua sektor kerajaan dan swasta.
 
Mana-mana yang ada anak, galakkan untuk jadikan Psikologis sebagai salah satu jalan kerjaya hidup.
 
Bukan lagi, “Minat Fizik, jadilah Engineer. Minat Biologi, jadilah Doktor. Minat bercakap, jadilah Lawyer.”
 
2. Bagi graduan Psikologi, jangan menyerah kalah untuk masuk ke bidang kerjaya yang kurang kaitan dengan jurusan, sebab tak banyak peluang pekerjaan berkaitan Psikologi.
 
Kejar sehingga ke Master dalam Psikologi masing-masing, kerana dari situ, langkah pertama untuk menjadi Psikologis bermula (syarat minimum).
 
3. Kesedaran mengenai kesihatan mental sahaja tak cukup. Apa yang perlu lagi ialah Penerimaan Kesihatan Mental.
 
“Awareness vs Acceptance.”
 
Kita perlu menerima idea kepentingan kesihatan mental itu, sebagai sebahagian daripada bidang kesihatan seseorang.
 
Gali ilmu, banyakkan membaca, dan sedar bahawa penghidap kecelaruan mental itu bukan GILA, SEWEL, TAK CUKUP IMAN apatah lagi MAHUKAN PERHATIAN.
 
Mereka sedang kesakitan, dan memerlukan sokongan moral daripada kita. Jika kita boleh bersimpati dan memberi sokongan kepada pesakit kanser, kita juga perlu berbuat perkara sama kepada penghidap kecelaruan mental ini.
 
Bidang Psikologi merupaka bidang kritikal kepada sesebuah pembangunan negara. Fasiliti itu semua tidak bermakna andai rakyatnya tidak sihat, secara fizikal dan mental.
 
Isu kesihatan ialah isu sepanjang zaman.
 
————
 
Marilah kita meramaikan jumlah Psikologis di negara tercinta ini. Kerana belajar Psikologi itu sebenarnya menyeronokkan!
 
Mana-mana individu yang mahukan servis Diagnosis, Assessment, Psychotherapy atau sebagainya,
atau hubungi pusat Psikologi kami, WeCare Allied Health Center
03-77328285 / 013 815 8285 / 013 816 8285
info@wecare.my
 
————
 
[1] Malaysian Society of Clinical Psychologists (MSCP) members’ registry; Ang, “Current Perspective in Mental Health”, 3rd Asia Pacific Conference on Public Health, 14 Nov 2011; Laporan NHEWS 2012-2013; Laporan ASEAN 2016
 
[2] http://www.spa.gov.my/deskripsi-tugas/ijazah/1152/-/journal_content/56_INSTANCE_qGyeX3Q3ZCG3/10182/32322?p_p_state=pop_up&_56_INSTANCE_qGyeX3Q3ZCG3_page=1&_56_INSTANCE_qGyeX3Q3ZCG3_viewMode=print
 
[3] Kajian daripada National Health and Morbidity Surveys tahun 1996 dan 2015
 
[4] Dr Brock Chisholm, Director-General pertama untuk World Health Organization (WHO, 1953)

Menulis dan berkongsi mengenai ilmu pengkajian minda dan tingkahlaku manusia merupakan minatnya pada waktu lapang. Pada waktu serius pula, beliau berkhidmat sebagai Special Needs Educator merangkap Assistant Psychologist di sebuah pusat Psikologi terkemuka, WeCare Allied Health Center. Jemputlah datang untuk dapatkan servis Psikologis. Sebut nama beliau, insya Allah dapat diskaun 😛

Komen

Aiman Amri

Menulis dan berkongsi mengenai ilmu pengkajian minda dan tingkahlaku manusia merupakan minatnya pada waktu lapang. Pada waktu serius pula, beliau berkhidmat sebagai Special Needs Educator merangkap Assistant Psychologist di sebuah pusat Psikologi terkemuka, WeCare Allied Health Center. Jemputlah datang untuk dapatkan servis Psikologis. Sebut nama beliau, insya Allah dapat diskaun :P

%d bloggers like this: